Friday, March 27, 2009

PERSOALAN HIDUP & MATI - Imam Al-Ghazali

Pendapat Imam Al-Ghazali tentang persoalan HIDUP dan MATI :

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

* Lalu Imam Al Ghazali bertanya, pertama,
"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar.
Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran : 185).

- Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua.
"Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid -muridnya ada yang menjawab Negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang.

Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar.
Tetapi yang paling benar adalah "masa lalu".

Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari-hari yang mendatang dengan perbuatan yang tidak merugikan.


- Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga.
"Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari.

Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali.
Tetapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu" (Al A'Raf : 179).

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.


- Pertanyaan keempat adalah,
"Apa yang paling berat di dunia ini?".

Ada yang menjawap batu, besi, dan gajah.

Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali,
Tetapi yang paling berat adalah "amanah" (Al-Ahzab :72).

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak menjalankan amanahnya.


- Pertanyaan yang kelima adalah,
"Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan.

Semua itu benar kata Imam Ghazali,
Tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah ''meninggalkan solat''.

Gara-gara sibuk dengan pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara mesyuarat kita tinggalkan solat.


- Lalu pertanyaan ke enam adalah,
"Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang...

Benar kata Imam Ghazali,
Tetapi yang paling tajam adalah "lidah manusia".

Karena melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Monday, March 23, 2009

Permulaan Wahyu..... Tahukah kita???

Kita mengaku Allah itu Tuhan kita,

Kita mengaku Muhammad itu Nabi kita,

Kita mengaku Al-Quran itu kitab panduan hidup kita...


Namun, adakah kita masih ingat atau tahu sejarah penurunan wahyu Allah yang pertama kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada kita?

Saidatina Aisyah r.a berkata :

”Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dengan mimpi yang baik di dalam tidurnya, Baginda melihat (sesuatu) di dalam mimpinya seperti cahaya fajar sebelum terbit matahari dan setelah itu Baginda suka mengasingkan diri. Baginda mengasingkan diri dan beribadat di Gua Hira' selama beberapa malam sebelum pulang kepada keluarganya untuk mengambil bekalan. Apabila bekalan habis, Baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambilnya lagi, sehinggalah malaikat datang ketika Baginda berada di Gua Hira' tersebut, lalu berkata: Bacalah. Baginda menjawab: Aku tidak tahu membaca. Kata baginda lagi: Malaikat memelukku sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca. Malaikat memelukku buat kali yang kedua sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca. Dia memelukku buat kali yang ketiga kemudian melepaskanku lalu berkata:


Yang bermaksud: (Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya).


Rasulullah s.a.w pulang dengan hati yang gementar, lalu terus masuk menemui Khadijah binti Khuwailid (isteri Baginda) dengan berkata: Selimutkan aku, selimutkan aku. Khadijah terus menyelimutinya sehingga hilang perasaan gementar.


Baginda menceritakan kepada Khadijah peristiwa yang berlaku dengan katanya: Sesungguhnya aku merasa takut terhadap apa yang menimpa diriku. Khadijah berkata: Tidak sama sekali. Demi Allah! Sesungguhnya Allah tidak akan menyusahkanmu selama-lamanya, kerana kamu telah menghubungkan silaturahim, menolong orang ramai, memberi belanja kepada orang yang harta, memuliakan tetamu dan menyebelahi orang yang benar.


Setelah itu Khadijah membawa Rasulullah s.a.w menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah yang beragama Nasrani pada masa jahiliah. Beliau menulis kitab ke dalam bahasa Ibrani dan telah menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau seorang yang telah tua lagi buta.


Khadijah berkata kepadanya: Wahai sepupuku! Dengarlah apa yang akan diperkatakan oleh anak saudara kamu ini (Rasulullah). Lalu Waraqah berkata kepada baginda: Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah kamu lihat. Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa yang telah berlaku ke atas diri baginda. Waraqah berkata kepada baginda: Itulah Malaikat yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa, mudah-mudahan aku masih hidup ketika kamu berada dalam keadaan sedih kerana dihalau oleh kaum kamu. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Apakah mereka akan menghalau aku? Beliau menjawab: Ya. Setiap lelaki yang didatangkannya (Wahyu) akan dimusuhi, sekiranya aku mampu untuk menolong kamu pada hari itu nescaya aku akan menolong kamu secara bersungguh-sungguh, tetapi Waraqah bin Naufal tidak sempat bersama kerana beliau meninggal dunia ketika Wahyu diberhentikan buat sementara waktu.”

Friday, March 13, 2009

Hukum Sambutan Maulidur Rasul.....

"Ada orang yang mengatakan bahawa haram untuk menyambut Maulidur Rasul, ada juga yang berpendapat sebaliknya. Berikut adalah daripada fatwa Sheikh Yusof al-Qaradhawi mengenai sambutan Maulidur Rasul. Sheikh Yusof al-Qaradhawi adalah ulama’ yang tersohor di dunia pada waktu ini.

SOALAN : Apakah hukum menyambut hari memperingati Nabi Muhammad S.A.W dan juga hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti kedatangan tahun baru hijrah dan juga Isra’ dan Mikraj ?

JAWAPAN :

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, tidak lupa juga selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w.....

Ada golongan daripada umat Islam yang menganggap bahawa hari-hari penting dan kebesaran Islam atau apa sahaja cara memperingati peristiwa-peristiwa Islam seperti Hijrah, Isra’ Mikraj, Maulidur Rasul, Peristiwa Badar al-Kubra, Fathu Makkah, peristiwa-peristiwa dari sirah nabi dan lain-lain yang seumpamanya adalah bid’ah (yang diada-adakan) dalam agama ini yang mana setiap bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu akhirnya adalah tempatnya di neraka.

Anggapan ini sebenarnya SALAH secara total. Sebenarnya apa yang kita nafikan dan tidak persetujui pada perkara ini ialah sambutan-sambutan yang bercampur dengan perkara-perkara yang mungkar, perkara-perkara yang salah di sisi syara’ dan juga perkara yang langsung tiada asal dan dalil dalam agama sepertimana yang berlaku di sebahagian negara pada sambutan Maulidur Rasul dan sambutan kelahiran yang mereka rayakan untuk para auliya’ dan solihin.

Akan tetapi, sekiranya kita merebut peluang ini untuk memperingati sirah Nabi S.A.W, keperibadiannya, risalah yang dibawanya yang menjadi rahmat untuk sekalian alam, dimanakah bid’ahnya dan dimanakah pula sesatnya?

Apabila kita berbicara mengenai perkara ini, sebenarnya kita saling mengingatkan manusia mengenai nikmat besar yang Allah kurniakan kepada kita. Ingat-memperingati ini adalah disyariatkan (ada dalilnya di sisi syara’), digalakkan dan dituntut. Allah S.W.T sendiri telah memerintahkan kita untuk melakukannya (ingat memperingati) dalam al-Quran apabila berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا (9) إِذْ جَاءُوكُمْ مِنْ فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا (10)

9. “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

10. “Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (al-Ahzab ; 9-10)

Ayat ini mengingatkan kita dengan perang Khandak atau dinamakan juga perang Ahzaab apabila orang Quraisy, Ghatfan dan kumpulan-kumpulan mereka memerangi Nabi S.A.W dan juga kaum muslimin di tengah-tengah tempat tingggal mereka, mengepung Madinah dengan memagari sekelilingnya. Musuh merancang untuk memusnahkan tanaman-tanaman orang Islam dan menghancurkan sumber-sumbernya. Lalu Allah menyelamatkan orang Islam daripada ancaman ini dengan menghantar angin ribut kencang dan juga tentera-tenteraNya yang tidak dapat dilihat oleh manusia iaitu Malaikat.

Allah telah mengingatkan orang-orang Islam dengan perkara ini.. Ingatlah dan jangan lupa perkara ini !!! Ini memberi makna bahawa menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa mengingati nikmat ini dan tidak melupakannya.

Dalam ayat lain, Allah berfirman di dalam surah al-Ma`idah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (11)

11. Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Maidah ; 11)

Dalam ayat ini, Allah mengingatkan kaum muslimin akan kaum Yahudi Bani Qainuqa’ yang cuba untuk membunuh Nabi S.A.W secara curi-curi. Mereka merancang perkara ini dan hampir-hampir perancangan ini menjadi akan tetapi perancangan Allah lebih kuat dan cepat daripada mereka.

Maka dengan itu, berdasarkan bukti-bukti di atas, mengingati nikmat-nikmat adalah dituntut. Kita sentiasa mengingati nikmat Allah pada hari-hari kebesaran ini dan kita mengingatkan kepada orang Islam tentang peristiwa ini dan apa pengajaran dan pelajaran yang boleh kita dapati daripada peristiwa ini.

Persoalannya, adakah kita dapati kecacatan kepada perkara seperti ini? Adakah perkara ini menjadi bid’ah dan menyesatkan ?

Wallahua’lam.

Syaitan dan Hidung.....

 "Hadis Abu Hurairah r.a. : Nabi s.a.w telah bersabda : "Apabila seseorang dari kamu bangkit dari tidur, maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan tidur dalam rongga hidungnya iaitu ketika dia tidur." (riwayat Muslim)

Berikut dipaparkan tulisan kiriman dari seorang teman mengenai hidung sebagai sketsa yang merehatkan minda dan fikiran. Maaf sekiranya paparan ini mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak.Tidak kiralah berapa besar lubang hidung kita atau macam mana bentuknya,kenalah kita ambil tahu sikit.

Bunga akan berkembang segar jika disirami air, dan hidung akan berkembang megah bila dipuji ye dak. Bila kita nangis kekadang hidung pun tumpang nangis, kadang-kadang air hidung lebih banyak dari air mata.Malah ada orang jatuh cinta kerana terpesona dengan hidung seseorang. Tahukah kita hidung adalah salah satu anggota yang amat diminati oleh syaitan.

Masa yang paling sesuai untuk dikunjungi syaitan adalah ketika kita tidur.Ketika itu syaitan akan berkumpul di dalamnya.Tidak diketahui pula dengan tepat kenapa dia suka sangat dengan lubang hidung, tetapi ia boleh menganggu keupayaan kita untuk bangun dari tidur.

Membersihkannya sebaik sahaja bangun dari tidur adalah satu amalan yang dilakukan oleh Rasullullah selain dari bersugi. Bayangkanlah syaitan buat sarang dalam lubang hidung kita, macam-macam dia bikin. (macam-macam adaaa...) Oleh itu, bersihkanlah sebaik bangun dari tidur. Cara nak membersihkannya, berselawatlah dan gunakan jari yang kecil, bersihkanlah perlahan-lahan.

Jangan gunakan jari yang besar atau sebarang objek kerana dikhuatiri hidung akan tercedera atau bulu hidung akan tertanggal, boleh jadi juga lubang hidung akan menjadi luas macam serombong kapal daa. Nak bubuh sabun pun boleh, tetapi jangan le banyak sangat, nanti berbuih pulak lubang hidung tu, boleh lemas tu, kan susah. Setakat ni tak ada seorang pun yang sanggup buat CPR melalui lubang hidung.

Kalau teringat sama-samalah kita mengamalkannya kerana melalui hidunglah kita menyedut udara pemberian Allah dan dapat menghidu bau syurga (ini bergantung kepada amalan masing-masing).

Akhir kata..... "Walaupun dirimu tidak kukenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku" "

#diedit dari tranungkite

Saturday, March 07, 2009

Jika tidak kerana Nabi Muhammad, nescaya kita tidak diciptakan.....

Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian nur dan kitab yang jelas dan nyata."

Dalam ayat di atas, kebanyakkan ulamak tafsir mentafsirkan "nur" yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Nabi Muhammad s.a.w manakala "kitab" pula iaitu Al-Quran.

Kelahiran Rasulullah s.a.w merupakan anugerah Allah kepada dunia ini amnya dan kepada orang mukmin khasnya. Firman Allah:
"Berikanlah khabar gembira kepada orang mukmin bagi mereka anugerah dari Allah yang amat besar."(Surah al-Ahzab: ayat 47)

Ayat ini disusuli selepas Allah s.w.t. menyeru Nabi Muhammad s.a.w pada ayat sebelumnya dengan memuji Baginda s.a.w. sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, penyeru agama dengan izin Allah dan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan.

Ulama' menyebut : Jika masyarakat Quraisy menggelarkan Rasulullah s.a.w dengan "Al-Amin" sebelum kebangkitan Baginda atas sifat amanah dan benarnya, maka Allah s.w.t. sendiri telah menggelarnya dengan gelaran yang lebih tinggi iaitu sebagai Sirajul munir iaitu "cahaya yang terang". Apatah lagi dalam ayat Al-Quran yang lain, Allah telah menganugerahkan dua daripada nama-Nya dari Asmaul Husna iaitu Ar-Rauf dan Ar-Rahim kepada Rasulullah s.a.w dalam menerangkan sifat Rasulullah s.a.w bersama orang mukmin.

Oleh itu, dengan meyambut hari kelahiran-Rasulullah s.a.w adalah satu cara untuk melahirkan rasa syukur kita kepada Allah atas nikmat nabi dan berbangga kerana dipilih menjadi umat kepada penghulu Rasul yang digelar "kekasih Allah" ini.

Diriwayatkan daripada Ibnu Asakir daripada Salman Al-Farisi r.anhu sabda Rasulullah s.a.w, Allah berfirman dalam hadith Qudsi "Wahai Muhammad, Aku telah mengambil Ibrahim sebagai KhalilKu, sesungguhnya Aku telah mengambil engkau sebagai kekasih-Ku, dan Aku tidak ciptakan sesuatu makhluk yang lebih mulia daripada engkau di sisiKu dan Aku ciptakan dunia serta seisinya supaya mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukanmu di sisiKu, kalaulah tidak keranamu wahai Muhammad, Aku takkan ciptakan dunia ini."

Sabda Nabi : Yang bermaksud : "Aku telahpun dilantik sebagai nabi sedangkan Adam masih antara air dan tanah (belum dicipta)".

Melahirkan rasa gembira atas sesuatu nikmat adalah perkara yang wajib. Firman Allah yang bermaksud : "Adapun nikmat daripada Tuhanmu maka ceritalah (zahirkannya)" (Surah Ad-Dhuha : Ayat 11)

Oleh itu, apakah nikmat yang lebih besar bagi kita dari nikmat Islam dan iman? Bagaimana kita hari ini mampu memperoleh nikmat tersebut jika nabi tidak diutuskan?

Syeikh 'Atiah Saqar, seorang ulama' Al-Azhar telah menyebut bahawa, "Mensyukuri nikmat kelahiran Rasulullah adalah wajib. Jika Nabi Muhammad tidak diutus, nescaya Al-Quran tidak akan diturunkan".

Lihatlah saudara-saudaraku sekalian! Betapa pentingnya kita bergembira dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w kepada alam ini. Cuma, bagaimanakah caranya, itu terserah kepada inisiatif masing-masing. Bagi Rasulullah s.a.w sendiri, bagi melahirkan rasa syukur ini, dengan berpuasa pada hari kelahirannya, hari Isnin.

Hadith daripada Abu Qatadah r.anhu, tatkala Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasanya pada hari Isnin Baginda menjawab "Itulah hari yang aku dilahirkan padanya". Kata Dr.Syeikh Muhammad Alawi Al-Maliki r.anhu (seorang ulama' Mekah), inilah dalil yang jelas harus menyambut perayaan yang bersejarah ini. Kata beliau, jika ada yang mengatakan sambutan maulid ini tiada dalil, sama ada dia jahil atau membutakan matanya dari kebenaran, kerana yang awal-awal menyambutnya adalah tuan punya maulid itu sendiri, Rasulullah s.a.w..

Diriwayatkan daripada As-Suhaili bahawa Saiyidina 'Abas bin Abdul Muttalib r.anhu bermimpi setelah kematian Abu Lahab dan beliau bertanya halnya di alam kubur, maka jawab Abu Lahab "Bagiku tiada rehat sedikitpun kecuali diringankan azab bagiku pada hari Isnin". Ini kerana apabila datangnya Suwaibah, hambanya mengkhabarkan berita dia menerima anak saudara lelaki yang bernama Muhammad, Abu Lahab telah membebaskan hambanya tadi dan menjamu penduduk Mekah kerana terlalu gembira. Maka kata Al-hafiz Shamsuddin Muhammad Ad-Dimasyqi dalam syairnya :

اذا كان هذا كافرا جآء ذمه * وتبت يداه في الجحيم مخلدا
أتى أنه في يوم الاثنين دائما * يخفف عنه للسرور بأحمدا
فما الظن بالعبد الذي كان عمره * بأحمد مسرورا ومات موحدا؟

Maksudnya :
Jika si kafir ini (Abu Lahab) yang dilaknat Allah dalam Al-Quran dan kekal dia dalam neraka,
Tetapi diringankan azab pada hari Isnin kerana gembira dengan kelahiran Muhammad,
Bagaimana pula seseorang yang gembira seumur hidupnya dengan kelahiran Muhammad dan dia mati dalam mentauhidkan Allah (Islam)?

Diriwayatkan daripada daripada Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki daripada gurunya Dr.Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki daripada ayahnya, Sayyid Alawi bin Abbas Al-bin Abdul Aziz pernah menghadiri majlis maulidur di Masjidil Aqsa satu ketika dahulu. Dalam majlis itu, Syeikh Abbas melihat seorang lelaki tua sanggup berdiri bermula awal majlis hingga ke akhirnya. Lalu Syeikh ‘Abbas bertanya kepada lelaki itu kenapa dia sanggup berdiri begitu lama sedangkan dia sudahpun tua dan uzur. Lalu lelaki tua itu bercerita "Sebenarnya, sebelum ini aku mengingkari berdiri semasa selawat dibaca pada pandanganku ia adalah bid'ah dholalah. Hingga satu malam aku bermimpi, aku duduk dalam satu majlis bersama orang ramai tiba-tiba masuk Rasulullah s.a.w, lalu semua orang berdiri. Aku cuba berdiri tapi aku tidak mampu. Rasulullah datang kepadaku dan bersabda "Kamu takkan mampu untuk berdiri!". Aku terkejut dan apabila aku sedar keesokkannya, aku dapati kakiku lumpuh dan tidak mampu berjalan lagi.

Sejak hari itu aku berdoa dan bernazar jika Allah sembuhkan kakiku, aku akan berdiri sepanjang majlis maulid berlangsung. Bertahun-tahun lamanya aku menderita dan akhirnya Allah sembuhkan aku. Itulah sebab itulah aku berdiri".

Kata Al-Marhum Dr.Muhammad Syed Ahmad Al-Musayyar, mantan pensyarah kuliah Usuludin, Al-Azhar, "Jika tidak kerana Nabi Muhammad, takkan kita kenal para nabi, kalau tanpa nabi, takkan kita mengenali hakikat kehambaan kita kepada Allah".

Akhirnya marilah sama-sama kita berdoa semoga dalam masa yang terdekat ini akan terbitlah cahaya biasan Nur Muhammad yang akan menerangi hati dan jiwa kita serta sekalian umat dari ufuk Timur hingga ke Barat bagi mengembalikan kegemilangan Islam di alam ini.

Ya Rasulullah, biarlah engkau tahu perasaan dan rindu kami mengharum mekar mewangi tetap utuh dan abadi buat selamanya.

#sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Sambutan Maulidur Rasul Jauhkan Kita Dari Syirik

Pensyarah Kuliah Usuludin Dakwah Universiti Al-Azhar Shibin El-Kom, Mesir, Dr.Atiyah Mustafa Husain berkata, mereka yang merayakan sambutan Maulid Rasul akan dijaga oleh Allah dari syirik kepada-Nya. Memetik kata-kata daripada Syeikh Soleh Jaafari r.adhiAllahu anhu, dengan menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa sambutan Maulid Rasul boleh menjatuhkan seseorang kepada syirik, beliau berkata mereka yang menyambut perayaan ini akan terpelihara akidahnya dari perbuatan syirik.

"Ini kerana kita sudah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w juga adalah hamba Allah dan merupakan utusan-Nya," jelas beliau. Tambahnya lagi, walaupun begitu darjat Baginda s.a.w adalah tidak sama dengan sekalian hamba Allah yang lain.

Beliau turut mengupas tentang zat Nabi Muhammad s.a.w yang memiliki cahaya (nur). "Nur yang ada pada Baginda s.a.w mengatasi sekalian cahaya-cahaya lain di dunia ini termasuk matahari", katanya. Oleh sebab itu antara kelebihan Baginda s.a.w ialah Baginda s.a.w tidak mempunyai bayang-bayang ketika Baginda s.a.w berdiri di bawah sinaran matahari.

Beliau yang juga imam dan khatib di Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah turut mengupas kisah malam Israk Mikraj antara Rasulullah s.a.w dengan malaikat Jibrail, penghulu sekalian malaikat. Setelah melepasi langit ketujuh, Rasulullah s.a.w dapat melepasi hingga ke Sidratul Muntaha tanpa Jibril kerana jika Jibril melintasi ke Sidratul Muntaha nescaya jasadnya akan terbakar. "Oleh sebab itu, cahaya Nabi Muhammad s.a.w adalah mengatasi cahaya-cahaya lain termasuk cahaya para malaikat hingga diberikan kemuliaan dapat melihat Allah Taala di malam tersebut," tegas beliau.

Sunday, March 01, 2009

Sukan Tahunan 2009 SMKLU

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi… Sekolah tempat ambe mencurahkan ilmu dan bakti selesai melaksanakan Sukan Tahunan pada tengahari Sabtu (28 Februari) walaupun dah dikira lewat pelaksanannya berbanding dengan sekolah-sekolah lain... Yang penting, selesai, selamat dan sempurna...


Terima kasih atas kesudian wakil Tuan PPD (En. Mohi) yang sudi datang kira-kira 80 km dari bandar Jerantut semata-mata untuk merasmikan acara Sukan Tahunan ni... Pandu sorang-sorang diri pulak tu...


Bukan main bersemangat para pelajar (cikgu-cikgi lagi lea bersemangat) bersukan. Seronok juga ambe tengok gelagat anak-anak murid ambe. Cuma, diharapkan lepas ni anak-anak murid ambe ni bersemangat belajar pulak, melebihkan bersemangat masa Sukan Tahunan...


Terima kasih kepada ibu, bapa, penjaga, bekas pelajar, komuniti tempatan dan lain-lain yang turut serta memeriahkan Sukan Tahunan niii... Begitu juga `penggerai-penggerai’ yang menjual air, makanan dsb yang menambahkan lagi kemeriah sukan tersebut.


Tak lupa juga adik-adik kecil yang comel lote & kiut-miut yang sudi berpanas kerana nak berebut gula-gula. Para ibu & bapa yang berpeluh sakan nak jadi juara Terompah Gergasi. Juga para pegawai (pengadil) yang terdiri dari team RELA... Yang paling best, team ambe jadi juara Talik Tali setelah berpeluh bergelut serta bergayut melawan bekas-bekas anak-anak murid ambe sendiri...


Moga-moga kita jumpa lagi pada Sukan Tahunan tahun depan dengan lebih meriah lagi....


Akhirnya, Juara 2009 dinobatkan kepada rumah Syahbandar (17 emas) setelah mengenepikan Temenggung (rumah ambe) dengan perbezaan 2 emas (tapi, dari segi pungutan pingat rumah amber terbanyak... he he he). Ketiga Bendahara dan terakhir Laksamana... Tak apa, cuba lagi pada tahun depan...


# buat bekas guru-guru sekolah ni, maaf lea gambar belum ada untuk ditatapi...