Saturday, March 07, 2009

Sambutan Maulidur Rasul Jauhkan Kita Dari Syirik

Pensyarah Kuliah Usuludin Dakwah Universiti Al-Azhar Shibin El-Kom, Mesir, Dr.Atiyah Mustafa Husain berkata, mereka yang merayakan sambutan Maulid Rasul akan dijaga oleh Allah dari syirik kepada-Nya. Memetik kata-kata daripada Syeikh Soleh Jaafari r.adhiAllahu anhu, dengan menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa sambutan Maulid Rasul boleh menjatuhkan seseorang kepada syirik, beliau berkata mereka yang menyambut perayaan ini akan terpelihara akidahnya dari perbuatan syirik.

"Ini kerana kita sudah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w juga adalah hamba Allah dan merupakan utusan-Nya," jelas beliau. Tambahnya lagi, walaupun begitu darjat Baginda s.a.w adalah tidak sama dengan sekalian hamba Allah yang lain.

Beliau turut mengupas tentang zat Nabi Muhammad s.a.w yang memiliki cahaya (nur). "Nur yang ada pada Baginda s.a.w mengatasi sekalian cahaya-cahaya lain di dunia ini termasuk matahari", katanya. Oleh sebab itu antara kelebihan Baginda s.a.w ialah Baginda s.a.w tidak mempunyai bayang-bayang ketika Baginda s.a.w berdiri di bawah sinaran matahari.

Beliau yang juga imam dan khatib di Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah turut mengupas kisah malam Israk Mikraj antara Rasulullah s.a.w dengan malaikat Jibrail, penghulu sekalian malaikat. Setelah melepasi langit ketujuh, Rasulullah s.a.w dapat melepasi hingga ke Sidratul Muntaha tanpa Jibril kerana jika Jibril melintasi ke Sidratul Muntaha nescaya jasadnya akan terbakar. "Oleh sebab itu, cahaya Nabi Muhammad s.a.w adalah mengatasi cahaya-cahaya lain termasuk cahaya para malaikat hingga diberikan kemuliaan dapat melihat Allah Taala di malam tersebut," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment